Menu

Prospek jangka panjang KLCCP kukuh walaupun jualan runcit Suria KLCC merosot

27 May 2025
Featured Image

KUALA LUMPUR 27 Mei – Jualan penyewa di Suria KLCC terus merosot berikutan pengurangan perbelanjaan barangan mewah dan keadaan itu dijangka berterusan dalam masa terdekat.

Kenanga Research berkata, keadaan itu menyebabkan kenaikan sewa baharu di Suria KLCC lebih perlahan, hanya naik sedikit berbanding kenaikan besar tahun lalu.

Namun, katanya asas jangka panjang KLCCP Stapled Group masih kukuh, terutamanya dengan peningkatan jualan dalam barangan bukan mewah seperti makanan, minuman dan fesyen santai kerana orang ramai masih berbelanja.

Tambahnya, kerja naik taraf dewan utama di Hotel Mandarin Oriental dijangka menyumbang kepada pendapatan hotel tersebut.

Kenanga Research juga optimis dengan jumlah pelancong yang terus meningkat, dengan kira-kira 80% daripada tetamu hotel adalah pelancong asing.

Ramalan pendapatan KLCCP bagi FY25 dikurangkan 1% selepas kemas kini model.

Kenanga Research turut memuji KLCCP kerana memiliki portfolio aset utama yang kukuh, khususnya menara pejabat ikonik di kawasan KLCC dan Suria KLCC.

“Kumpulan dijangka mampu mengekalkan aliran pendapatan yang stabil pada masa akan datang,” ujarnya.

Kenanga Research menilai saham berkenaan sebagai ‘berprestasi sederhana’ dengan harga sasaran RM8.52 sesaham, berdasarkan anggaran dividen bersih 46.9 sen sesaham pada 2026.

Sementara itu, MIDF Research menjangka pendapatan lebih tinggi dari hotel dapat menampung penurunan pendapatan runcit yang biasanya lemah pada suku kedua yang biasanya mencatat jualan lebih perlahan.

Katanya, pendapatan dari bahagian pejabat pula dijangka kekal stabil kerana kumpulan memiliki perjanjian sewa jangka panjang.

KLCCP Stapled Group terdiri daripada KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust.

Bagi 1Q25, pendapatan KLCCP hampir sama dengan tahun lalu, kesan daripada pendapatan Hotel Mandarin Oriental yang berkurang ekoran kadar penghunian menurun kepada 54% berbanding 58% pada 1Q24. – DagangNews.com

Source: Prospek jangka panjang KLCCP kukuh walaupun jualan runcit Suria KLCC merosot – penganalisis | DagangNews – Berita Bisnes Anda

0comments