Menu
- Home
-
- myCareerX
- myGovernance
- myLOA
- CoBE & ABC Manual
- Whistleblowing
- Anti Bribery Management System
- Employee Grievance
- ECMS Library
- Employee Handbook
- KLCC Sports & Recreational Club
- Staff Offers
- Thoughtfull (AIA)
- AppCentre
- GEP Smart
- myApproval
- Travex
- myLearningX
- PETRONAS Leadership Centre
- PETRONAS Resource Centre
- GSRC Academy
- Finance Academy
- Media Gallery
- Subscriptions
KLCCP Stapled Group catat hasil RM429.7 juta, keuntungan bersih meningkat pada 3QFY2025
25 Nov 2025
KUALA LUMPUR 20 Nov – KLCCP Stapled Group mencatat hasil RM429.7 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), hanya meningkat sedikit berbanding RM429.62 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KLCCP Stapled Group berkata, keuntungan bersih pada 3QFY2025 meningkat kepada RM210.58 juta berbanding RM208.07 juta dalam tempoh sama pada tahun 2024.
“Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, syarikat meraih hasil RM1.25 bilion, sedikit rendah berbanding RM1.251 bilion pada tahun sebelumnya.
“Walaupun begitu, keuntungan bersih kekal stabil pada RM611.53 juta, berbanding RM626.60 juta pada 2024.
“Keuntungan sebelum cukai bagi suku semasa turut meningkat kepada RM244.64 juta, melepasi RM241.41 juta pada suku sebelumnya,” kata KLCCP Stapled Group dalam makluman tersebut.
Prestasi konsisten itu disokong oleh segmen pejabat, runcit dan hotel yang stabil serta segmen perkhidmatan pengurusan yang kukuh.
Kumpulan mengumumkan dividen sebanyak 9.50 sen sesaham meningkat 3.3% berbanding 9.20 pada suku yang sama tahun lalu.
Segmen runcit yang diwakili Suria KLCC dan podium runcit Menara 3 PETRONAS mencatat hasil RM141.9 juta dan PBT RM113.9 juta.
Kumpulan berkata, prestasi ini disokong oleh inisiatif menarik penyewa baharu seperti RR by Rizman Ruzaini, Vans, Dr. Martens, Timberland, Salomon dan Jungle House.
“Suria KLCC juga menjadi tuan rumah Kuala Lumpur Fashion Week 2025 buat kali kedua, mengumpulkan lebih 50 pereka dan jenama tempatan dan menerima Platinum Award for Best Experiential Marketing 2024–2025 daripada Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia.
“Segmen hotel yang diwakili Mandarin Oriental Kuala Lumpur mencatat hasil RM59.8 juta dan PBT RM6.1 juta, disokong oleh kadar penghunian tinggi dan aktiviti MICE, sementara hasil per bilik tersedia kekal stabil,” katanya.
Segmen pejabat mencatat hasil RM146.3 juta dan PBT RM120.9 juta, didorong oleh perjanjian Triple Net Lease dan sewaan jangka panjang, dengan Menara Berkembar PETRONAS menerima pengiktirafan Malaysian Urban Transformation Icon Award dan Anugerah Pencahayaan Bangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Segmen perkhidmatan pengurusan, termasuk pengurusan fasiliti dan parkir kereta, mencatat hasil RM102.8 juta dan PBT RM22.2 juta, meningkat berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini disokong oleh penyelenggaraan berjadual yang konsisten dan pendapatan parkir yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP Stapled Group, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, walaupun persekitaran luaran mencabar, portfolio kukuh yang disokong prestasi stabil segmen pejabat, runcit dan hospitaliti memberikan asas yang kukuh bagi jangka panjang dan Kumpulan yakin mampu memberikan nilai kepada pemegang saham pada suku terakhir 2025.
KLCCP Stapled Group, yang terdiri daripada KLCC Property Holdings Berhad dan KLCC Real Estate Investment Trust, adalah struktur sekuriti stapled terbesar diurus sendiri di Malaysia. Perniagaan teras Kumpulan meliputi pelaburan dan pembangunan hartanah serta penyediaan perkhidmatan pengurusan. – DagangNews.com
0comments








