Menu

KLCCP STAPLED GROUP CATAT UNTUNG BERSIH SUKU PERTAMA LEBIH TINGGI KEPADA RM180.56 JUTA

29 May 2023
Featured Image

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — KLCCP Stapled Group, terdiri daripada KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Reit, mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM180.56 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2023, berbanding RM161.44 juta pada suku yang sama sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan dan pemulihan yang berterusan merentasi semua segmen perniagaan.

Hasil meningkat 18.3 peratus kepada RM380.74 juta daripada RM321.71 juta sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata segmen runcitnya mencatatkan hasil lebih tinggi kepada RM129.8 juta, peningkatan sebanyak 17 peratus, disokong oleh jualan penyewa yang lebih baik dan bilangan pelanggan yang bertambah di pusat beli-belah itu.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh kos elektrik yang lebih tinggi hasil daripada kenaikan caj Ketidakseimbangan Kos Laluan (ICPT) yang diumumkan pada Januari 2023. Namun begitu, keuntungan keseluruhan sebelum cukai meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM99.7 juta pada suku di bawah tinjauan,” katanya.

KLCCP Stapled berkata hasil segmen hotel melonjak kepada RM46.1 juta berbanding RM20.0 juta pada suku yang sama.

“Segmen perkhidmatan pengurusan yang terdiri daripada fasiliti, pengurusan dan perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta menyaksikan peningkatan hasil kepada RM77.4 juta dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 13 peratus kepada RM19.2 juta,” katanya.

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.41 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, yang akan dibayar kepada pemegang saham pada 28 Jun, 2023.

Melangkah ke hadapan, KLCCP Stapled berkata ia kekal positif dan optimis bahawa penunjuk ekonomi dan perniagaan akan terus menunjukkan momentum pemulihan yang positif dengan kembalinya mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), acara dan aktiviti pelancongan, serta permintaan domestik yang meningkat.

“Secara keseluruhannya, prestasi kumpulan dijangka kekal stabil disokong oleh pajakan jangka panjang dan perjanjian pajakan bersih tiga kali ganda dalam segmen pejabat,” tambahnya.

Source: BERNAMA – KLCCP STAPLED GROUP CATAT UNTUNG BERSIH SUKU PERTAMA LEBIH TINGGI KEPADA RM180.56 JUTA

0comments